Sunday 23 October 2011

Kasih sayang Allah s.w.t

Bismillahhirrahmanirrahim.

   Permulaan dengan lafaz yang mulia kepada Allah yang Maha Pencipta, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Berbicara mengenai apa yang diertikan dengan kasih sayang Allah. Kita sering dihidangkan dengan pelbagai cerita mengenai kasih sayang dan kisah-kisah cinta manusia sesama manusia tetapi bagaimana pula dengan kisah cinta Pencipta terhadap ciptaannya?

   Kisah ini bermula dengan anologi seorang wanita bernama Aishah. Dia adalah seorang anak kampung yang tinggal dihujung sebuah kampung pedalaman. Aishah hidup sebatang kara setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia. Walaupun begitu dia tidak rasa keseorangan kerana dia ada si A yang sangat mencintainya dan mengambil berat terhadapnya Segala keperluan hidupnya diberi dan dicurahkan dengan kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh. Aishah hidup sangat  bahagia dan gembira.

   Setelah lama kemudian muncullah si B yang cuba mengambil berat terhadapnya. Aishah sangat tertarik dengan apa yang telah si B lakukan terhadapnya. Pada mata Aishah si B adalah seseorang yang dia nantikan untuk mendapat kasih sayang setelah pemergian ibu bapanya. Aishah mula melupakan si A yang telah banyak berkorban terhadapnya.

   Walaupun begitu sifat Aishah yang telah berpaling tadah terhadap si A, tetapi si A tetap mencurahkan kasih sayangnya terhadap Aishah. Setiap hari si A menghantar makanan, minuman dan keperluan hidup yang lain. Aishah sangat sayangkan si B walaupun dia baru sahaja mengenali si B. Mereka hidup bahagia tetapi si A turut bahagia melihat Aishah gembira bersama si B.

   Tidak lama Aishah mengecapi kebahagian dengan si B. Si B mula menunjukkan sifatnya yang tidak baik kepada Aishah. Si B merasa bosan melayan Aishah dan terus meninggalkan Aishah begitu sahaja. Tiada lagi kasih sayang dan perhatian dari si B kepada Aishah. Dia terasa sunyi dan bersedih hati. Tetapi si A sentiasa berada disis Aishah walau apa yang berlaku. Aishah berasa malu terhadap si A, kerana si A tetap menyayanginya walaupun apa sahaja yang telah dilakukan oleh Aishah terhadapnya.

   Kini Aishah menghargai kasih sayang si A terhadapnya. Mulai dari saat itu dia berazam tidak lagi mengutamakan kasih dan sayangnya yang lain, melainkan menghargai perhatian si A terhadapnya. Begitulah kisah cinta Aishah bersama si A dan kekecewaan dia bersam si B.

   Dari kisah ini dapatlah kita dikiaskan dalam realiti sebenar hidup kita iaitu si A itu adalah Allah s.w.t. Jika kita lihat manusia sering kali lupa pada kasih sayang yang telah Allah curahkan terhadap hamba-hambanya. Allah tetap dan terus memberi walaupun hambanya bersifat angkuh terhadapNya. Ini dapat dibuktikan dengan apa sahaja nikmat kehidupan yang kita miliki ini bukanlah hak milik kita tetapi sentiasa Allah beri kepada kita untuk kita kembali taat kepadaNya. Dengan taat itu dalam erti kata bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah berikan kepada kita dari kita mula kita dilahirkan hingga kita akan bertemu Allah semula.

   Si B pula ialah manusia lain yang Allah pinjamkan kepada kita untuk kita merasakan kasih sayang sesama manusia. Tetapi ingatlah bahawa apa yang dicipta itu akan mati, tetapi yang Maha Pencipta itu hidup dan tidak mati. Tidak salah menyebarkan kasih sayang sesama manusia tetapi binalah kasih sayang itu dengan terbinanya kasih sayang kepada Allah s.w.t.

   Qudwah yang terbaik kita contohi ialah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda begitu menyayangi Allah s.w.t sehingga sanggup berbengkak kakinya demi Allah, kekasihnya. Pada ketika itu Saidatina Aishah r.a.h berkata kepada Rasulullah. "Ya Rasulullah mengapa kamu sanggup solat sehingga bengkak kakimu?". Baginda menjawab," AFALA AKUN A'BDAN SYAKURA". " Salahkah aku ingin menjadi hambaNya yang bersyukur?.

   Dengan ucapan itu, kita dapat mengambil ibrah bahawasanya siapalah kita yang enggan tunduk untuk sujud kepadaNy bagi menbalas kasih sayang Allah terhadap kita. Hatta Nabi sendiri yang telah dijanjikan syurga dan terpelihara dari mempunyai dosa juga tunduk sujud mengucapkan tanda syukur baginda kepada Allah s.w.t. Allahu akbar, Allah yang Maha Besar.

   Marilah kita sama-sama merenung kembali dalam diri kita adakah kita benar-benar mengucapkan syukur dengan kasih sayang yang Allah berikan kepada kita? Tepuk dada,tanya IMAN.
                                                   
                        (Perjalanan yang pasti adalah bertemu dengan Allah s.wt.)

Wallahu a'lam.

sumber: adaptasi cerita pentazkirah di musola saodah UniSZA.

No comments:

Post a Comment